SERENA WILLIAMS
AFP

LONDON: Juara Wimbledon tujuh kali, Serena Williams disenarai sebagai pemain pilihan ke-25 dalam kategori perseorangan wanita biarpun kini menduduki ranking 183 dunia.

Pemain berumur 36 tahun itu yang tidak disenaraikan sebagai pemain pilihan pada Terbuka Perancis, membuat penampilan semula selepas kelahiran anaknya, Alexic Olympia pada September lalu.

Williams bermain dalam Grand Slam pertamanya di Terbuka Perancis bulan lalu melangkah ke pusingan keempat sebelum kecederaan bahu menyebabkan dia menarik diri sebelum pertemuan dengan musuh tradisi, Maria Sharapova.

Sharapova diletakkan sebagai pemain pilihan keempat sementara kakak Williams, Venus Williams di kedudukan pemain pilihan kesembilan.

Berlainan dengan juara Wimbledon dua kali, Andy Murray apabila pemain Britain itu tidak disenarai sebagai pemain pilihan dalam kategori lelaki biarpun dia sudah kembali bersaing sejak dua minggu lalu.

Pemain berumur 31 tahun itu yang berehat hampir 11 bulan berikutan kecederaan pinggul dan menjalani pembedaha  bagaimanapun masih belum memutuskan sama ada akan bermain di Wimbledon kali ini.

Ada beberapa pihak yang mempertikaikan keputusan penganjur meletakkan Williams sebagai pemain pilihan dengan pemain ranking 32 dunia, Dominika Cibulkova menyatakan kepada BBC tentang ‘ketidakadilan’ itu apabila dia menjadi mangsa kerana hanya 32 pemain pilihan utama yang tersenarai.

“Saya sudah mencuba dan saya sepatutnya disenarai pemain pilihan. Jika mereka meletakkan dia (Serena) di depan saya, maka saya akan kehilangan tempat yang sepatutnya saya peroleh,” kata Cibulkova.

“Saya bekas pemain nombor empat dan juga mengapa saya tak boleh disenaraikan bukan?”   

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 10:03 PM