PEMAIN Sweden meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Mexico 3-0 pada aksi terakhir peKumpulan F di Stadium Ekaterinburg. FOTO AFP
Reuters

YEKATERINBURG: Sweden dan Mexico masing-masing layak ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas perlawanan terakhir Kumpulan F antara kedua-dua pasukan sebentar tadi menyaksikan Sweden meraih kemenangan 3-0.

Menguasai babak pertama, Sweden mendahului menerusi jaringan Ludwig Augustinsson pada minit ke-51 untuk menewaskan penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.

Sweden terus memberi tekanan buat lawan apabila Andreas Granqvist menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas pengadil mendapati Marcus Berg dikasari Hector Moreno.

Mexico terus dirundung kecewa apabila Edson Alvarez menjaringkan gol sendiri pada minit ke-74 namun kedua-dua pasukan layak ke pusingan seterusnya selepas Sweden mendahului carta kumpulan dengan kelebihan jaringan gol berbanding Mexico namun kedua-duanya mempunyai kelebihan tiga mata daripada Jerman dan Korea Selatan.

Dalam satu perlawanan kumpulan sama sebentar tadi, Jerman dimalukan Korea Selatan dengan keputusan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 12:43 AM