SAZALI SAMAD
Mohd Khairie Khalid

BIARPUN dirinya terus ‘dirantai’ dan ‘diheret’ penggantungan sehingga empat tahun akan datang iaitu sehingga 2023 kerana disifatkan melanggar peraturan, jaguh bina badan negara, Sazali Samad tetap akan meneruskan karier bina badan.

Pemilik Mr Universe 10 kali itu menegaskan dia tetap akan menyertai kejohanan terbuka mahupun jemputan di peringkat antarabangsa termasuklah yang dijadualkan berlangsung di China, Kuwait dan Thailand.

“Saya akan teruskan kehidupan macam biasa dan mengekalkan bentuk badan saya kerana ia sudah menjadi lumrah hidup saya sebagai seorang atlet.

“Ada kejohanan besar menanti selepas sambutan Hari Raya dan saya perlu mempersiapkan badan untuk beraksi di pentas antarabangsa ... mungkin kejohanan itu akan berlangsung pada September ataupun Oktober.

“Saya sudah tak peduli akan tambahan penggantungan kerana saya pun ingin meneruskan kehidupan, ada keluarga dan hendak besarkan anak-anak. Walaupun ada pencen tetapi perlu lagi cari sumber kewangan lain,” kata Sazali, bapa kepada lima orang anak ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Sazali menjelaskan meskipun dia kini bergerak secara bebas dan tidak melalui mana-mana persatuan, namun dia akan memastikan penganjur dapat menerimanya bertanding.

Sazali yang kini sudah mencecah usia 51 tahun menjelaskan perancangan perlu dilakukan dengan sebaiknya bagi memastikan penyertaan berbaloi serta tidak melakukan pembaziran terutamanya kewangan.

Dalam perkembangan lain, Sazali menegaskan pihaknya masih mencari bukti berhubung dakwaan salah laku, hukuman dijatuhkan tidak adil dan ‘double standard’ terhadap Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).

Sazali yang menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, baru-baru ini berdepan tindakan tegas apabila hukuman penggantungannya ditambah empat tahun lagi.

Keputusan Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) itu bermakna hukuman penggantungan ke atas Sazali yang sepatutnya berakhir pada 22 September 2019 hanya akan berakhir pada 22 September 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 7:35 PM