PEMAIN Tunisia meraikan gol kemenangan mereka. Foto REUTERS
Reuters

TUNISIA sudah mencapai sasaran mereka di Piala Dunia apatah lagi mereka tiba di Russia dengan menyedari perkara paling baik boleh dilakukan adalah menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan, kata jurulatih Nabil Maaloul selepas kemenangan 2-1 ke atas Panama, hari ini.

Melakukan penampilan kelima di Piala Dunia, skuad ‘the Eagles of Carthage’ diundi bersama gergasi Eropah, Belgium dan England selain pasukan kali pertama layak, Panama dalam Kumpulan G.

Tunisia tewas 1-2 di tangan England pada perlawanan pembukaan dan dibelasah 2-5 oleh Belgium pada perlawanan kedua menamatkan harapan untuk layak ke pusingan kalah mati sebelum perlawanan terakhir kumpulan.

Namun, pasukan Afrika Utara itu pulang dengan puas selepas menamatkan penantian 40 tahun untuk kemenangan pertama pada Piala Dunia apabila bangkit daripada ketinggalan bagi mengatasi Panama di Mordovia Arena.

“Pada perlawanan hari ini, kami memang berhak menang ke atas Tunisia. Apabila kami diletakkan dalam kumpulan ini, saya rasa kami tahu harapan paling baik kami ialah menduduki tangga ketiga,” kata Maaloul kepada wartawan.

Tunisia menjadi pasukan Afrika pertama memenangi perlawanan Piala Dunia apabila menewaskan Mexico di Argentina pada 1978, namun sejak itu mereka seri empat perlawanan dan tewas sembilan kali sebelum kemenangan hari ini.

Maaloul memuji semangat juang pasukannya ketika berdepan England dan benteng pertahanan Tunisia cemerlang sebelum tewas menerusi jaringan lewat Harry Kane namun merumuskan persembahan mereka berdepan Belgium sebagai buruk.

“Mungkin dalam perlawanan kedua kami sepatutnya lebih baik,” katanya. “Persembahan kami ketika menentang England sangat bagus, kami menyamai mereka dalam aspek teknikal. Mereka memiliki sebahagian pemain terbaik dunia dan kami perlu bertahan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 7:56 AM