26 gol dijaringkan pada minit ke-80 ke atas yang mana 13 atau 50 peratus daripadanya adalah gol kemenangan atau penyamaan ketika peringkat kumpulan Piala Dunia. Foto AFP
Reuters 

JIKA anda menggemari gol pada lewat permainan yang menjadikan perlawanan lebih menarik, edisi Piala Dunia kali ini mungkin sesuai untuk anda.

Jumlah gol di hujung permainan seperti yang dilakukan Marcos Rojo pada aksi menentang Nigeria sekaligus mengesahkan Argentina ke pusingan kedua, adalah lebih banyak berbanding peringkat sama di dua edisi Piala Dunia sebelum ini.

Gol-gol dramatik itu jugalah yang menyaksikan bagaimana juara bertahan, Jerman tersingkir awal.

Selepas berakhir perlawanan peringkat kumpulan, 26 gol dijaringkan pada minit ke-80 ke atas yang mana 13 atau 50 peratus daripadanya adalah gol kemenangan atau penyamaan, menurut satu analisis yang disediakan oleh firma data sukan, Opta.

Jumlah itu tidak termasuk gol lewat permainan yang hanya menambahkan drama tetapi tidak mengubah situasi seperti gol kedua Brazil pada masa kecederaan ketika bertemu Costa Rica serta gol kedua Korea Selatan ketika menewaskan Jerman.

Secara perbandingan, ketika Piala Dunia 2014 di Brazil, 26 gol turut dijaringkan selepas minit ke-80 tetapi hanya lapan atau 31 peratus sangat penting.

Pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, lima daripada 20 gol lewat permainan atau 25 peratus, menentukan kelayakan di peringkat kumpulan.

“Terlalu banyak gol lewat permainan dijaringkan dan anda juga memerlukan sedikit tuah,” kata Marco Reus selepas pasukannya mencatat kemenangan ke atas Sweden dalam saingan Kumpulan F, 23 Jun lalu yang kemudiannya menyaksikan Toni Kroos menambah gol kedua sebelum tamat perlawanan.

Ketika Jerman disingkirkan Korea Selatan menerusi gol saat akhir beberapa hari lalu, gol lewat permainan dilihat cukup penting di Russia.

Harry Kane menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika England mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tunisia pada perlawanan pertama sementara Uruguay turut mencetak gol saat akhir menerusi Jose Gimenez ketika menewaskan Mesir.

Pasukan berstatus bukan pilihan juga bernasib baik memperoleh gol di minit akhir.

Antaranya ialah Iran yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti minit ke-93 ketika menentang Portugal yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 sementara Maghribi mengatasi Sepanyol pada minit ke-81 sebelum lawan mereka itu menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 9:13 AM