Osman Nok. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

 

KUANTAN: Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) mensasarkan lima pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang akan berlangsung September ini.

Setiausaha PESAKA Pahang Datuk Osman Nok berkata, sasaran itu bersandarkan prestasi semasa 30 pesilat, masing-masing 18 pesilat dalam acara silat olahraga dan 12 pesilat silat seni.

"Walaupun sasaran emas kurang satu pingat iaitu enam emas di SUKMA Sarawak 2016, ia berdasarkan pengalaman yang dimiliki pesilat berkenaan,” kata Osman.

"Pada SUKMA kali ini, sebahagian besar pesilat yang akan beraksi di Perak ini adalah atlet baharu kerana pesilat yang meraih emas dua tahun lalu sudah melepasi umur 21 tahun.

"Namun, dengan latihan intensif yang diadakan, kita percaya 30 pesilat yang disenaraikan ini mampu mengharumkan nama Pahang terutama mencapai misi lima emas."

Sebagai persediaan Osman berkata, pihaknya akan menerima pesilat Sabah pada aksi persahabatan yang akan diadakan di Balai Seni Silat, di sini, 3 Julai ini.

Katanya, kehadiran pesilat Sabah itu diharap menilai prestasi terkini atlet Pahang untuk merealisasikan misi berkenaan.

"Aksi persahabatan itu juga turut menekankan kepada displin pesilat untuk memastikan mereka benar-benar bersedia bukan saja dari segi ketangkasan, malah mental," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 6:37 PM