PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao
Sukhairi Thani

 

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah meraih grid perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik untuk kali keempat pada musim ini di Grand Prix (GP) Belanda, sebentar tadi.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu menamatkan sesi kelayakan di Sirkit TT Assen di tangga ke-15 dengan catatan masa sepusingan terpantas dilakukannya 1 minit 33.666 saat.

Grid dalam kelompok 15 terbaik itu juga adalah yang keempat berturut-turut buat Hafizh selepas menamatkan sesi kelayakan masing-masing di tangga ke-14 bermula di GP Perancis, Mei lalu. Satu lagi grid dalam kedudukan itu adalah di pusingan pertama musim di GP Qatar, Mac lalu.

Hafizh kini menduduki tangga ke-17 dalam carta pelumba kelas perdana itu dengan 17 mata selepas tujuh pusingan dan berada di tangga kedua untuk muka baharu terbaik di belakang Franco Morbidelli dari pasukan EG 0,0 Marc VDS.

Pelumba Jepun, Takaaki Nakagami mewakili pasukan LCR Honda IDEMITSU yang bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-13 esok berada di tangga ketiga carta muka baharu terbaik dengan 10 mata.

“Saya sangat hampir untuk memasuki QP2 (sesi kelayakan kedua), hanya 0.066 saat yang pastinya mengecewakan tetapi catatan masa dilakukan adalah di belakang pelumba lain, jadi saya tidak dapat memperbaiki catatan lagi.

“Saya melihat catatan dilakukan dan cuba ke depan tetapi sedar yang saya perlu mencuba lagi untuk ke QP2. Apapun, saya sangat gembira dengan usaha dilakukan pasukan. Saya akan cuba mencari rentak untuk perlumbaan esok dan kami akan cuba kekal fokus pada perlumbaan,” kata Hafizh.

Pada sesi kelayakan tadi, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda Team menyambar petak hadapan pertama baginya musim ini dengan catatan 1'32.791s.

Cal Cruthlow dari LCR Honda CASTROL berada di tangga kedua dengan catatan 1'32.832s manakala Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) melengkapkan barisan paling depan dengan 1'32.850s.

 

KEPUTUSAN

Sesi kelayakan MotoGP

1. Marc Marquez (Repsol Honda Team) 1'32.791s

2. Cal Cruthlow (LCR Honda CASTROL) 1'32.832s

3. Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) 1'32.850s

4. Andrea Dovizioso (Ducati Team) 1'32.870s

5. Alex Rins (Team SUZUKI ECSTAR) 1'32.933s

... 15. Hafizh Syahrin Abdullah (Monster Yamaha Tech3) 1'33.666s

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 11:16 PM