PEMAIN Selangor, Rufino Segovia Del Burgo meraikan jaringan gol ketika menentang PKNS FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam. FOTO Owee Ah Chun
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


SELANGOR menamatkan badi sembilan tahun apabila seri 1-1 dengan PKNS FC pada separuh akhir kedua Piala FA sekali gus layak ke final 5-1 secara agregat di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kali terakhir Selangor beraksi pada final Piala FA 2009 yang menyaksikan Red Giants merangkul kejuaraan kelima selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Lebih membanggakan, kejayaan mara ke final buat kali kelapan sejak piala itu diperkenalkan pada 1990 hadir di bawah kendalian Nazliazmi Nasir yang secara rasmi dipilih sebagai pengganti P Maniam, April lalu.

Bagi PKNS pula, ia sudah pasti satu keputusan yang mengecewakan apabila gagal mengulangi pencapaian mara ke final pertandingan sama pada 2016.

Selangor yang selesa mendahului hasil kemenangan 4-0 pada separuh akhir pertama di Cheras pads 23 Jun lalu, turun tanpa sebarang tekanan.

Malah, anak didik Nazliazmi hampir menjarakkan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik Amri Yahyah yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Tauffiq Rasyid Johar pada minit ke-23.

PKNS yang terdesak mencari gol juga mendapat peluang untuk memecah kebuntuan menerusi dua percubaan Safee Sali dan Rafael Ramazotti pada minit ke-51, namun kedua-duanya diselamatkan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Penyerang berbisa Selangor, Rufino Segovia menambah tekanan PKNS selepas meledak gol pembukaan pada minit ke-71, sekali gus menutup peluang buat anak buah Datuk K Rajagobal untuk bangkit selepas ketinggalan dengan agregat 0-5.

PKNS bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-90 menerusi Alif Haikal Sabri, namun ia sudah terlambat untuk menyekat langkah Selangor ke final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 Julai ini.

Menanti Selangor di final adalah pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara PKNP FC dan Pahang di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 11:21 PM