CAROLINE peminat bola sepak Denmark. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pilihan kedua Wimbledon, Caroline Wozniacki menjerit hingga suaranya serak kerana melihat Denmark tersingkir daripada Piala Dunia, katanya selepas mengharungi perlawanan pusingan pertama hari ini.

Caroline yang juga peminat tegar bola sepak serak suara selepas menyaksikan perlawanan pasukan negaranya yang tewas pada pusingan kalah mati di tangan Croatia.

Selepas seri 1-1 pada masa tambahan, Croatia menang 3-2 menerusi penalti semalam untuk mara ke suku akhir.

Caroline memuji penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel, pemain terbaik perlawanan yang menyelamatkan percubaan lawan yang bertali arus bagi menghidupkan peluang Denmark.

“Saya kehilangan suara sedikit malam tadi kerana menjerit, teruja menikmati perlawanan yang mendebarkan dan biarpun ia kekalahan yang sukar diteriima, mereka sudah melakukan yang terbaik,” kata pemain nombor dua dunia itu.

“Penjaga gol kami menyelamatkan maruah pasukan beberapa kali sepanjang kejohanan ini. Maka dia berhak mendapat A+.”

Denmark mungkin gagal ke suku akhir namun Caroline berharap mampu pergi lebih jauh dalam kejohanan itu, apabila gagal mara ke suku akhir dalam 12 percubaan.

Pada perlawanan hari ini, dia melangkah mudah ke pusingan kedua dengan kemenangan 6-0, 6-3 keatas Varvara Lepchenko.

Pemain berusia 27 tahun itu yang menjuarai kejohanan pemanas badan di Eastbourne Sabtu lalu, memerlukan 59 minit di Centre Court untuk menewaskan lawannya dari Amerika Syarikat yang berada di ranking ke-97 dunia.

“Saya berharap dapat terus memperbaiki permainan sepanjang kejohanan ini. Saya suka bermain di gelanggang rumput. Jadi saya harap dapat menemui rentak permainan di sini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 1:16 AM