PEMAIN Switzerland, Xherdan Shaqiri ketika sesi latihan. Foto REUTERS
PEMAIN Switzerland, Xherdan Shaqiri ketika sesi latihan. Foto REUTERS
AFP

WALAUPUN bakatnya kurang menyerlah di peringkat kelab, namun Xherdan Shaqiri membuktikan potensi sebenar bersama Switzerland di pentas antarabangsa dan kini menjadi antara pemain yang mencuri tumpuan di Piala Dunia.

Shaqiri yang terpaksa akur apabila kelabnya Stoke City tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim ini membuktikan sentuhannya dengan jaringan pada penghujung perlawanan bagi membantu Switzerland menewaskan Serbia.

Sumbangan dan jaringan itu juga membantu pasukannya mara ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia dan dijadualkan menentang Sweden bagi perebutan tempat ke suku akhir, malam ini.

Bagaimanapun, gol yang dijaringkannya itu - yang keempat pada kempen Piala Dunia selepas meledak hatrik ketika menentang Honduras empat tahun lalu mencetuskan kontroversi.

Pemain kelahiran Kosovo dan rakan sepasukannya, Granit Xhaka meraikan gol dengan melakukan aksi gaya burung helang berkembar atau 'double eagle' dengan tangan mereka, melambangkan bendera Kosovo atau simbol penentangan.

Kedua-dua pemain itu boleh menarik nafas lega apabila hanya didenda 10,000 Swiss Francs (RM40,656) ketika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh mengenakan hukuman gantung dua perlawanan dan menamatkan aksi mereka di Piala Dunia lebih awal.

Selepas kontroversi itu, Switzerland kini fokus bagi melangkah ke suku akhir buat kali pertama selepas 64 tahun dengan Shaqiri sekali lagi dijangka menjadi tumpuan.  

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 7:45 AM