CRISTIANO RONALDO
Agensi

MILAN: Juventus akan cuba mendapatkan Cristiano Ronaldo dari Real Madrid menerusi perjanjian yang akan menyaksikan bintang itu menerima STG106 juta (RM563.56 juta) dalam tempoh empat tahun menurut satu laporan.

Ronaldo kini sedang bertenang selepas negaranya, Portugal tewas di tangan Uruguay Sabtu lalu yang disifatkan sebagai peluang terakhir buat pemain berusia 33 itu mencipta kegemilangan di Piala Dunia.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu mahukan kontrak baru dengan Madrid yang membuatkannya bergelar pemain dengan bayaran paling tinggi di dunia tetapi presiden kelab, Florentino Perez masih belum menawarkan penyambungan kontrak buat Ronaldo.

Dan akhbar Sepanyol, Marca melaporkan gergasi Serie A, Juventus sudah bersedia menguji Ronaldo dan Madrid dengan menawarkan pakej kewangan bernilai kira-kira STG500,000 (RM2.658 juta) seminggu untuk empat tahun.

Laporan Marca menyatakan perbincangan sudah berlaku dan Madrid bersedia menurunkan klausa pelepasan Ronaldo kepada STG886 juta (RM4.710 bilion) untuk merealisasikan perjanjian itu.

Madrid tidak gembira dengan cara Ronaldo meraikan Liga Juara-Juara dengan mengalih tumpuan daripada penjaring gol kemenangan, Gareth Bale.

Sejurus selepas kemenangan 3-1 mengatasi Liverpool di Kiev pada Mei, Ronaldo memberikan temubual dengan mengatakan adalah 'bagus bermain buat Real Madrid’.

Pemain Portugal itu ketika sambutan trofi di Madrid memberitahu penyokong kelab bahawa dia akan melihat mereka lagi tahun depan.

Ronaldo memiliki kontrak bersama Real hingga 2021 dan Paris Saint-Germain difahamkan menjadi pasukan utama mahu mendapatkan tandatangannya jika dia keluar dari Bernabeu.

Dia mahukan perjanjian baharu — yang dikatakan olehnya adalah janji musim panas lalu — bagi menjadikannya pemain dengan bayaran termahal dunia sekali lagi, dan membantunya mengurangkan bebanan membayar kes cukainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 2:31 PM