BIBI RAMJANI ILIAS KHAN
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pelantikan Wan Rakemi Wan Zahari sebagai pengurus baharu The Red Warriors (TRW) berkuat kuasa Ahad lalu.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pelantikan Wan Rakemi, 38, diputuskan dalam mesyuarat Exco, akhir bulan lalu.

Katanya, pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan yang sebelum ini disandang, Yahya Yamada Ali.

WAN Rakemi dilantik pengurus baru TRW pada hari ahad lalu. -Foto fail

“Sebelum ini, beliau (Wan Rakemi) adalah pengurus skuad Piala Presiden Kelantan dan pernah membantu skuad itu menjadi juara dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016.

“Justeru, pelantikannya adalah bertepatan kerana beliau lebih mengenali setiap pemain muda yang kini menjadi tonggak TRW,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Bibi Ramjani juga berharap pengalaman Wan Rakemi mampu membantu pasukan itu kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 4:00 PM