KUALA LUMPUR: Mohd Fitri Ashraff Razali berdepan cabaran besar bagi menghadapi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018.

KUALA LUMPUR: Mohd Fitri Ashraff Razali berdepan cabaran besar bagi menghadapi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018.

Menjelang pusingan kedua di MAEPS, Serdang hujung minggu ini, pelumba berusia 24 tahun itu menghadapi perlumbaan keduanya bersama pasukan baharu yang berada dalam kelas CP150 musim ini, Weststar Cilik Racing Team bersama-sama Abd Muhaimin Roslan dan muka baharu, Muhammad Nazif Nor Samsol.

Beraksi bersama pasukan yang dikendalikan ayahnya, Razali Ahmad, Fitri menamatkan perlumbaan pertama di Litar Tangkak di tempat kelapan manakala Nazif di tangga ke-13 dan Abd Muhaimin gagal menamatkan perlumbaan.

“Cabaran musim ini sangat besar,” kata Fitri. “Kami pasukan baharu dalam barisan grid CP150, jadi pastinya mempunyai banyak kekurangan terutama dari segi data untuk pelarasan jentera berbanding pasukan lain.”

Pencapaian terbaik Fitri sebelum ini adalah menamatkan saingan kelas perdana ketika itu CP130, di tangga ketiga keseluruhan pada musim 2015.

“Pada masa sama, saya juga mempunyai dua tanggungjawab berbeza dalam pasukan,” kata Fitri. 

“Selain menjadi pelumba, saya juga sedang belajar mengurus pasukan bersama-sama ayah sebagai persediaan musim akan datang.”

Fitri mempunyai visi untuk menjadi pengendali pasukan seandainya tidak lagi bergelar pelumba pada satu masa nanti bagi meneruskan legasi ayahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 6:06 PM