PEMAIN Sweden berpelukan setelah berjaya melangkah ke suku akhir sejak 24 tahun selepas menewaskan Switzerland 1-0 di Stadium Saint Petersburg, malam tadi. FOTO EPA-EFE
PEMAIN Sweden berpelukan setelah berjaya melangkah ke suku akhir sejak 24 tahun selepas menewaskan Switzerland 1-0 di Stadium Saint Petersburg, malam tadi. FOTO EPA-EFE
AFP

SAINT PETERSBURG, Russia: Sweden mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 24 tahun berpunca dari jaringan tunggal Emil Forsberg untuk menumpaskan Switzerland 1-0.

 

Jaringan yang dilakukan pada separuh masa kedua itu selepas rembatannya terkena pertahanan lawan, Manuel Akanji membolehkan Sweden berada dalam kalangan lapan pasukan terbaik sejak kali pertama selepas Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

"Saya sangat bangga dapat melihat apa yang kami capai bersama. Ia membuatkan saya mengalirkan air mata," kata Forsberg.

 

Laluan Sweden untuk mara suku akhir bukan mudah, mereka terpaksa berdepan Belanda dan Itali di peringkat kelayakan sebelum menamatkan saingan di atas Jerman dan Mexico dalam Kumpulan F. 

 

"Persaingan di dalam pasukan dapat ditunjukkan di atas padang. Forsberg pula sudah menunjukkan peningkatan jika dilihat dari pendekatan yang digunakan dalam perlawanan ini. 

 

"Walaupun dia tidak berjaya melakukan tugasnya dalam perlawanan ini, dia sebenarnya sudah beraksi dengan baik," kata jurulatih Sweden, Janne Andersson. 

 

Dalam masa sama Andersson tidak berasa ia satu masalah besar buat pasukannya yang dilihat kurang kreatif.

 

"Kami sedar kami adalah pasukan terbaik, kami mahu melakukan lebih dari ini. Kami tahu bagaimana kami melaluinya untuk sampai sejauh ini. Apa yang pasukan dan negara lain menilai kami, itu anda kena bertanya kepada mereka sendiri," kata Andersson. 

 

Sementara itu, jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic mengakui sangat kecewa walaupun mereka berhasrat untuk melakukan lebih dari apa yang sudah dilalui.

 

"Kami mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan Sweden, mereka sudah melakukan apa yang sepatutnya dan sudah cukup untuk mengalahkan kami.

 

"Kami sepatutnya melakukan lebih baik namun kami tidak terlalu bagus untuk memenangi perlawanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 2:16 AM