Abdul Azim pada sidang media selepas perjumpaan dengan Kesatuan Ragbi Malaysia di Wisma OCM. FOTO OWEE AH CHUN.
Abdul Azim pada sidang media selepas perjumpaan dengan Kesatuan Ragbi Malaysia di Wisma OCM. FOTO OWEE AH CHUN.
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Kesemua atlet Malaysia yang beraksi di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang akan menjalani ujian doping sebelum temasya berkenaan bermula dan ia termasuk kuda bagi acara ekuestrian. 

Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, perincian mengenai ujian berkenaan akan dibincangkan dengan Pengarah Badan Anti Doping Nasional (Adamas) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, esok.

“Kami sudah memberitahu semua persatuan sukan kebangsaan yang semua atlet perlu menjalani ujian perubatan dan juga ujian anti doping sebelum temasya berkenaan,” kata Azim.

“Sampel itu, tidak kira air kencing atau darah, akan dikumpul apabila atlet menjalani ujian perubatan di Institut Sukan Kebangsaan (ISN). Bagi atlet yang berlatih di luar negara, mereka akan menjalani ujian dengan sekutu kami di luar negara.

“Ujian juga akan dijalankan ke atas semua kuda yang beraksi dalam acara ekuestrian. Kami baru saja membincangkan mengenai perkara ini kerana kos bagi ujian untuk kuda lebih tinggi berbanding manusia.

“Kesemua sampel akan dikumpulkan lebih awal kali ini kerana sasarannya adalah untuk menerima keputusan sebelum temasya bermula. Ini untuk membuktikan yang kami tidak bertolak ansur apabila membabitkan doping.

“Saya akan membincangkan mengenai strategi kami termasuk bagaimana sampel sebanyak itu akan dikumpul, kaedah bagi ujian luar negara dan juga kos dengan Dr Ramlan esok.”

Keputusan untuk menguji kesemua atlet bukan perkara yang mengejutkan berikutan jumlah kes berprofil tinggi yang dilaporkan dalam sukan negara ketika ini.

Sebelum ini, hanya atlet yang beraksi dalam sukan berisiko tinggi seperti angkat berat diuji sepenuhnya manakala atlet lain diuji secara rawak. 

Ia disebabkan oleh kos ujian yang menghalang ujian seperti itu dijalankan secara sepenuhnya.

Azim, hari ini menemui atlet dan pegawai daripada tiga jenis sukan - ekuastrian, ragbi dan kabaddi - di sini bagi membincangkan mengenai persiapan mereka menjelang Sukan Asia.

“Persiapan untuk ketiga-tiga sukan berjalan lancar menurut jadual yang sudah ditetapkan oleh persatuan mereka selain daripada ISN dan juga Majlis Sukan Negara,” kata Azim.

Kabaddi dan ragbi, kedua-duanya akan menghantar 15 atlet dan pegawai dan beraksi dalam kategori B. 

Ekuestrian turut menghantar 15 atlet dan pegawai - lapan daripadanya dalam kategori A dan tujuh kategori B.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 8:33 PM