MALAYSIA mungkin terlepas acara regu lelaki. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain


SALAH siapa? Itu yang perlu dirungkai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila usaha memburu pingat emas dalam acara regu lelaki di Sukan Asia, bulan depan lebur.

Pada undian yang berlangsung hari ini, skuad lelaki negara hanya diundi dalam acara berpasukan dan beregu sekali gus menimbulkan sedikit ketegangan semasa undian berlangsung.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang diberi tanggungjawab mengendalikan undian berkenaan berkata, beliau dimaklumkan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail bahawa mereka turut menyertai acara regu lelaki.

“Bagaimanapun, menerusi sistem senarai acara yang diterima Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia (INASGOC) dan Majlis Olimpik Asia (OCA), tiada acara regu lelaki disertai Malaysia.

“Malah lebih dikesalkan, tiada wakil MOM di majlis berkenaan bagi mengesahkannya walaupun sudah dijemput. Tiada apa yang boleh dilakukan walaupun PSM hadir dan mendakwa mereka turut menyertai acara regu,” jelasnya.

Situasi berkenaan seolah-olah harapan Malaysia untuk meraih emas sudah terpadam kerana peluang terbaik adalah menerusi acara regu berbanding dua acara lain.

Malaysia dijangka sukar mengatasi musuh tradisi Thailand dalam acara berpasukan yang dilihat mempunyai kekuatan seimbang.

Sandaran Malaysia sebelum ini diletakkan kepada regu negara diketuai Mohd Syahir Rosdi yang sudah meraih dua emas Sukan SEA dan beberapa kejohanan antarabangsa.

“Bagi kami ia amat mengecewakan, siapa yang bertanggungjawab? Kita akan menyokong sekiranya rayuan dilakukan namun perlu melihat bukti dan sebagainya,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Keputusan undian sepak takraw

LELAKI

Lelaki quadrant (berempat)

Kumpulan A: Indonesia, Myanmar, China, Laos, Jepun

Kumpulan B: Singapura, Nepal, Iran, Vietnam, Pakistan

Lelaki regu:

Kumpulan A: Indonesia, Singapura, Filipina, Pakistan

Kumpulan B: Korea Selatan, China, India, Nepal

Beregu berpasukan:

Kumpulan A: Indonesia, Vietnam, Jepun, Filipina

Kumpulan B: Thailand, Laos, Malaysia, Myanmar

Regu berpasukan:

Kumpulan A: Thailand, Korea Selatan, Malaysia

Kumpulan B: Indonesia, India, Iran

WANITA

Quadrant

Kumpulan A: Indonesia, Laos, Korea Selatan, Myanmar

Kumpulan B: Thailand, Jepun, Vietnam, India, Malaysia

Regu berpasukan

Kumpulan A: Thailand, India, Laos, Korea Selatan

Kumpulan B: Indonesia, Malaysia, Jepun, Vietnam, Myanmar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 2:39 AM