PELUMBA yang menyertai Kejohanan Lumba Basikal Asia (ATC) 2018 yang diadakan di Velodrom Nasional Nilai, Februari lalu. Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Azlan Muhammad Zain


IMPIAN Malaysia untuk menganjurkan siri Piala Dunia dalam acara berbasikal trek tidak kesampaian apabila tidak tersenarai dalam enam negara yang terpilih menganjurkannya bagi musim 2019/2020.

Menerusi laman web rasmi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), hanya Hong Kong dari benua Asia yang tersenarai untuk menganjurkan siri Piala Dunia bagi musim baru yang dijadualkan bermula pada November nanti.

Saingan yang akan bermula di Belarus adalah sebahagian daripada kempen kelayakan kepada barisan pelumba trek dari seluruh dunia untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Malaysia menerusi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Mac lalu memutuskan untuk membida bagi menganjurkan siri Piala Dunia di velodrom tertutup negara di Nilai.

Ia susulan kejayaan penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai selain mendapat reaksi positif Presiden UCI, David Lappartient yang hadir ke Malaysia bertemu dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Langkah menganjurkan siri Piala Dunia adalah sebahagian usaha Malaysia membantu pelumba negara diketuai jaguh negara, Azizulhasni Awang mengutip mata semaksimum mungkin diiringi sokongan penyokong tempatan bagi memburu tiket ke Tokyo.

Bagaimanapun senarai tuan rumah yang dikeluarkan UCi meranapkan impian Malaysia untuk menganjurkan salah satu siri berkenaan.

Senarai tuan rumah siri Piala Dunia 2019/2020

Minsk (Belarus) : 1-3 November 2019

Glasgow (Great Britain): 8-10 November 2019

Hong Kong (China): 29 November-1 Disember 2019

Cambridge (New Zealand): 6-8 Disember 2019

Brisbane (Australia): 13-15 Disember 2019

Milton (Canada): 24-26 Januari 2020

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 1:37 PM