BOS pasukan Jerman, Oliver Bierhoff. FOTO Agensi
AFP

BERLIN: Bos pasukan Jerman, Oliver Bierhoff mengakui Mesut Ozil seharusnya digugurkan sebelum Piala Dunia bermula berikutan skandal membabitkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Ozil, 29, menjadi antara pemain senior yang dikritik hebat susulan prestasi longlai di Russia tatkala Jerman menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan sekali gus tersingkir awal.

Di Russia, pemain tengah Arsenal itu enggan mengeluarkan komen mengenai perjumpaan kontroversinya dengan Erdogan, sehari sebelum kejohanan bermula yang mencetus persoalan mengenai kesetiaannya terhadap Jerman.

Justeru, Bierhoff akur adalah satu kesilapan untuk membenarkan Ozil kekal mendiamkan diri ketika kontroversi berkenaan membayangi kem Jerman.

“Kami tidak pernah mengarahkan pemain-pemain dalam pasukan kebangsaan Jerman untuk melakukan sesuatu, tetapi kami sentiasa untuk meyakinkan mereka apabila berlaku sesuatu perkara,” kata Bierhoff yang juga Pengarah Pasukan Jerman.

“Kami tidak berjaya melakukannya dengan Mesut. Dan perkara yang terhormat adalah untuk menimbangkan sama ada untuk menyenaraikannya atau tidak.”

Ozil dan Ilkay Gundogan, yang kedua-duanya memiliki pertalian darah dengan Turki diejek oleh peminat Jerman ketika perlawanan pra-Piala Dunia selepas menampilkan gambar dengan Erdogan.

Pemain tengah Manchester City, Gundogan memberikannya jersi yang ditandatanganinya dan bertulis “kepada Presiden saya.”

Gundogan menafikan perjumpaan berkenaan bermotifkan politik tetapi Ozil enggan mengeluarkan komen dan menjadi satu-satunya pemain daripada 23 skuad yang disenaraikan ke Russia tidak menghadiri sidang media Jerman di kem latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 12:38 AM