BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dijangka melepaskan jawatan selaku presiden PBSNT. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman dijangka melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) di sebuah hotel di sini, petang ini.

Jawatan berkenaan dijangka diambil alih oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, berkata mantan Menteri Besar itu dijangka tidak mempertahankan jawatannya dalam EGM berkenaan.

“Ahmad Razif sebelum ini sudah menyatakan kesediaan untuk menyerahkan jawatan itu kepada kepimpinan baharu kerajaan negeri dalam kongres luar biasa yang dijadualkan berlangsung petang esok (hari ini).

"Turut bertukar adalah bagi jawatan timbalan presiden yang kini kosong selepas penyandangnya, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail meletak jawatan pada pertengahan Mei lalu," katanya.

Tengku Farouk berkata, dalam EGM itu juga, dua usul utama akan dikemukakan dan dibincangkan ahli persatuan bagi mengubah perlembagaan iaitu berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden PBSNT.

"Sebelum ini dua jawatan itu disandang melalui pemilihan ahli PBSNT. Tapi dalam kongres itu nanti, kita akan bawa usul supaya dua jawatan itu dilantik iaitu tanpa pemilihan dan jawatan presiden secara automatik disandang menteri besar.

"Bagaimanapun usul itu bergantung kepada sokongan ahli dalam mesyuarat itu. Sekiranya kami mendapat sokongan majoriti, kita akan merubah perlembagaan itu," katanya.

Pada Disember 2016, Ahmad Razif yang ketika itu menjadi Menteri Besar Terengganu menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam kongres luar biasa PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020 bagi menggantikan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 1:36 AM