AKSI pelumba di perlumbaan kategori 90KM pada CIMB Cycle 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang. -Foto AIZUDDIN SAAD
Azlan Muhammad Zain


SEPANG: Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang akan menyertai Piala Trek China hujung bulan ini sebagai persediaan terakhir menghadapi Sukan Asia di Indonesia pada Ogos nanti.

The Pocketrocketman menjelaskan, perlumbaan kelas satu dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu akan menjadi medan ‘pemanas badan’ terakhir dirinya.

“Ia medan bagi saya menguji tahap prestasi dan mencari kelemahan menjelang Sukan Asia. Ia turut membolehkan saya mengutip mata bagi saingan siri Piala Dunia nanti,” jelasnya.

Ia turut dilihat saingan kompetitif pertama bagi dirinya selepas pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus yang memberi kesan kepada persembahannya di Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel.

“Saya sudah pulih sepenuhnya cuma perlu menjalani pemeriksaan doktor bagi pengesahan. Saya sentiasa meletakkan sasaran podium apabila bersaing namun masih belum dapat senarai pelumba yang bersaing di China nanti,” katanya selepas hadir menyaksikan perlumbaan CIMB Cycle 2018.

Sukan Asia di Indonesia pada Ogos menjadi medan untuk Azizulhasni memburu emas terutamanya selepas jangkitan virus menyebabkan dia tidak berada pada tahap terbaik pada dua kejohanan besar sebelum ini.

Azizulhasni dijangka menyertai tiga acara iaitu keirin, pecut individu dan pecut berpasukan di Sukan Asia.

“Saya sentiasa terbuka dengan kritikan namun pada masa yang sama, saya akan membuktikannya di atas kertas (lakar keputusan yang baik),” tambahnya.

Terdahulu Azizulhasni hadir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyaksikan perlumbaan CIMB Cycle 2018 yang menarik penyertaan lebih 3,000 peserta dari 26 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 1:25 PM