Aksi Edmond dan Arena. FOTO Ihsan Media247

SEREMBAN: Misi pemburuan gelaran Kejohanan Badminton 100PLUS Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Final 2018 semakin menarik apabila pasangan adik beradik, Edmond Anthony dan Arena Satu Samin menunjukkan penguasaan pada suku akhir, hari ini.

Arena bagaimanapun terlebih dulu mengesahkan tiket ke separuh akhir kategori wanita apabila menewaskan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Vanessa Ng Po Lyn 21-15, 21-13.

Di separuh akhir, menunggunya ialah seorang lagi wakil BAM, Go Pei Kee yang menundukkan Loh Zhi Wei dari Selangor 22-20, 21-15 dalam tempoh 27 minit.

“Permainan saya lebih baik berbanding semalam. Lawan saya pada hari ini agak sukar kerana dia (Vanessa) mempunyai kemahiran dan stamina.

“Tetapi tahap kecergasan Vanessa rendah dan cepat penat dan ia memberi peluang kepada saya untuk menyerang dengan permainan panjang,” kata Arena yang berasal dari Sabah.

Hoe Shi Yun dan Isabel Liau Bei Yi melengkapkan dominasi BAM bagi kategori berkenaan apabila masing-masing menempah pertembungan separuh akhir hasil kejayaan menumpaskan Khor Jing Wen 21-23, 21-17, 21-9 dan Lim Qi Ling 21-8, 21-14.

Aksi perseorangan lelaki bawah 16 tahun, menyaksikan penguasaan seimbang antara pemain negeri dan BAM.

Juara sirkit pertama Zon A, Edmond yang juga abang kepada Arena menempah slot empat terbaik selepas menang ke atas Teh Jin Hong dari Pulau Pinang 21-16, 21-13.

Slot kedua menjadi milik Ong Zhen Yi (BAM) yang mudah menjinakkan wakil Johor S Muniandy 21-14, 21-17 manakala baki dua tempat disambar Ng Yaw Pin (BAM) dan juga Ong Ken Yong (Melaka).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 8:02 PM