PASUKAN Pahang bersama Tengku Arif Temenggong Tengku Abdul Fahd Muadzam Shah Sultan Ahmad Shah Al Mustain Billah selepas menewaskan Selangor dalam Piala FA 2018. FOTO Aswadi Alias
Muhd Fitrie Muhamad; Firdaus Hashim dan Syafiq Aznan

 

KEJAYAAN Pahang merangkul Piala FA menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi mencetuskan ‘drama’ membabitkan kelayakan pasukan itu untuk beraksi di saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan.

Selaku juara Piala FA, skuad Tok Gajah itu memperoleh satu slot ke saingan tertinggi benua Asia itu apabila akan beraksi di pusingan kedua kelayakan selepas Malaysia mendapat slot 1+1 daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2019 dan 2020.

Namun, pasukan itu tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua tahun daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan keengganan mereka mewakili negara ke saingan Piala AFC musim ini.

Larangan itu membabitkan permohonan tahun depan dan 2019 sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh tidak akan mewakili negara ke ACL bagi musim 2019 dan 2020.

Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftarkan pasukan ke pertandingan AFC musim depan.

Bagaimanapun, ada sinar baharu buat Pahang selepas mereka masih berpeluang menjadi wakil negara sekali gus mengiringi juara Liga Super musim ini ke saingan penuh kompetitif itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan larangan permohonan lesen hanyalah daripada pihak FAM dan bukan daripada pihak AFC sendiri.

“Melihat kepada situasi ini, larangan dari FAM jadi mungkin ia bergantung kepada budi bicara mereka. FAM saja boleh membuat keputusan jika mereka mahu memberi pelepasan atau alternatif yang dirasakan wajar dan sesuai.

“Apapun, sekiranya Pahang tidak diberikan kebenaran untuk bertanding, slot kedua itu secara automatik akan diberikan kepada naib juara Liga Super musim ini.

“Keputusan ini sama seperti apabila slot ke Piala AFC musim ini yang sepatutnya diberikan kepada juara Piala FA musim lalu iaitu Kedah akhirnya ditawarkan kepada Pahang yang muncul sebagai naib juara liga musim 2017,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) boleh mengemukakan rayuan kepada FAM supaya dapat mempertimbangkan sekiranya mereka berminat untuk beraksi di ACL musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 3:29 PM