PERAK meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama ketika menentang Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
PERAK meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama ketika menentang Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Azizan Hashim

 

PERAK tekad menduduki tangga kedua Liga Super bagi membolehkannya layak beraksi dalam Liga Juara-juara AFC.  

Justeru, Perak perlu menang dua perlawanan di tempat sendiri iaitu bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Selasa ini dan Pahang (14 Julai) bagi mengukuhkan kedudukannya.

Selepas itu, Perak akan bertandang ke Kuala Lumpur sebelum melayan kunjungan Kedah dan menutup tirai liga bertemu PKNS.  

Perak menduduki tangga kedua setakat ini dengan mengutip 31 mata - mengatasi Kedah dengan kelebihan satu mata manakala Pahang (28) dan Terengganu (27).

“Peluang mengejar pendahulu, JDT memang tipis kerana jauh di hadapan dengan pungutan 44 mara.  Jadi, Perak perlu tumpukan perhatian kepada memastikan kami muncul naib juara kali ini,” kata Naib Presiden 1, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Rashidi Ibrahim.

Rashidi yang juga penolong pengurus The Bos Gaurus (TBG), berkata suka atau tidak Perak perlu menyekat JDT Selasa ini, sekali gus melengahkan Harimau Selatan untuk bergelar juara sekali lagi.

“Ini misi hidup mati Perak, kami perlukan kemenangan untuk mencapai impian muncul naib juara. Kami berjaya memberi tentangan sengit kepada mereka dalam pertembungan di Larkin cuma dikecewakan ketiadaan penyudah.

“Saya yakin pemain Perak tahu tugas dan tanggungjawab mereka dalam perlawanan ini. Apapun, kami perlu hadapi satu persatu perlawanan ini agar tidak terasa bebanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 7:23 PM