PEMAIN Croatia akan sedia rantai pergerakan pemain berbahaya England, Raheem Sterling pada aksi separuh akhir. FOTO AFP
PEMAIN Croatia akan sedia rantai pergerakan pemain berbahaya England, Raheem Sterling pada aksi separuh akhir. FOTO AFP
AFP

MOSCOW: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic sudah mengenal pasti penyerang England, Raheem Sterling sebagai pemain paling berbahaya dan perlu dikawal rapi dalam perlawanan peringkat separuh akhir antara kedua-dua pasukan, Rabu ini.

Sterling yang menjadi tonggak utama Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim lalu, namun dia dilihat tidak banyak membantu England mara ke separuh akhir Piala Dunia buat pertama kali, sejak 1990.

Disebalik beberapa kekecewaan dengan prestasinya di peringkat awal, Jurulatih England, Gareth Southgate kini meletakkan sandarannya kepada pemain berusia 23 tahun berkenaan kerana banyak kelebihan dimiliknya terutama ketangkasan dan kemahiran individunya yang banyak membantu menewaskan pertahanan Sweden ketika skuad The Three Lions menang perlawanan suku akhir Sabtu lalu.

"Saya fikir Raheem Sterling adalah seorang pemain yang penting dan perlu dikawal rapi kerana dia adalah seorang pemain yang tangkas dan berbahaya, selain kelibat Harry Kane (ketua pasukan England).

"Saya tidak nampak England mempunyai kelemahan yang ketara memandangkan mereka sudah berjaya sampai ke peringkat separuh akhir. Mereka sering menggunakan taktik hantaran terus, berbahaya, pantas dan sangat bagus dari segi sepakan percuma dan sepakan penjuru," kata Dalic dalam sidang medianya di sini, semalam.

England terselamat dalam penentuan sepakan penalti peringkat kalah mati 16 pasukan terbaik dengan menewaskan Colombia manakala Croatia menundukkan Denmark sebelum menumbangkan Russia di peringkat suku akhir Sabtu lalu. 

Selepas terpaksa mengharungi saingan sengit seperti itu, bukannya mudah untuk melupakan bagaimana Croatia berjaya menewaskan Argentina yang diketuai oleh Lionel Messi dalam perebutan dua pasukan teratas peringkat kumpulan.

Dalic juga meletakkan harapan supaya pemain Croatia seperti Luca Modric dapat menunjukkan bakat dan daya kreativiti dalam perlawanan menentang England yang dianggap berlangsung dengan corak permainan terbuka di Stadium Luzhniki Moscow, Rabu ini. 

"Tiga perlawanan terakhir amat berbeza kerana kami menggunakan pendekatan bermain secara bertahan. Namun, kami akan menggunakan pendekatan berbeza ketika menentang England kerana mereka gemar menggunakan taktik menyerang," katanya.

Perlawanan separuh akhir berkenaan diharap dapat memperbetulkan salah tanggapan mengenai Liga Perdana Inggeris yang kaya berbanding bola sepak Croatia.

"Jika kami mempunyai wang sebanyak England, siapa tahu di mana patut negara kami berada sekarang,"? kata Dalic.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 5:28 AM