BUNYAMIN (kiri) sasar kedudukan kedua liga. -Foto fail
BUNYAMIN (kiri) sasar kedudukan kedua liga. -Foto fail

KUANTAN: Skuad Pahang yang baru dinobatkan juara Piala FA musim ini, tetap kekal fokus pada saingan Liga Super apabila melayan PKNP FC di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.

Pertahanan skuad Tok Gajah, Bunyamin Umar berkata, tiada istilah ‘berehat’ kerana skuad itu mahu memastikan keputusan terbaik diraih dalam saingan liga musim ini.

“Biarpun kami masih lagi dalam kegembiraan meraikan kejayaan juara Piala FA, saingan liga tetap diutamakan untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik.

“Sasaran kami adalah untuk berada di tangga kedua liga memandangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu selesa dan hanya memerlukan satu kemenangan bagi mempertahankan kejuaraan.

“Namun, selagi saingan liga belum berakhir, kami tetap fokus dan memastikan baki lima perlawanan ini berakhir dengan kemenangan seterusnya mengetepikan Perak dan Kedah,” katanya.

Justeru, Bunyamin yang bermain dalam kesebelasan utama ketika Pahang menewaskan Selangor 2-0 pada final Piala FA Sabtu lalu, sudah bersedia meneruskan prestasi cemerlang skuad Tok Gajah.

Katanya, pertemuan kali keempat dengan PKNP diharap terus memihak kepada Pahang untuk memastikan skuad itu mendaki ke tangga liga lebih baik berbanding keempat ketika ini.

“Apa yang boleh dikatakan bahawa barisan pemain yang sama akan turun beraksi bertemu PKNP dan sudah pasti prestasi cemerlang dipersembahkan bertemu Selangor akan turut sama dilakukan Rabu ini.

“Oleh itu, kami akan bermain dengan misi tiga mata kerana mahu kegembiraan pasukan berterusan sekali gus menafikan peluang PKNP mencuri mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 6:38 PM