WENGER (kanan) akui Ozil tidak berada di prestasi sebenar ketika aksi Piala Dunia. FOTO/AFP
Agensi

PARIS: Arsene Wenger mengakui dia tidak mengenali Mesut Ozil yang beraksi bersama Jerman pada kempen Piala Dunia kali ini.

Penyandang juara itu berdepan detik memalukan di Russia apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot di belakang Mexico, Sweden dan Korea Selatan.

Ozil diturunkan ketika mereka tewas di tangan Mexico dan Korea Selatan namun direhatkan pada aksi kedua bertemu Sweden yang menyaksikan mereka meraih satu-satunya kemenangan pada kempen kali ini.

Bekas pemain Real Madrid itu bersama rakan sepasukannya, Ilkay Gundogan dikritik sebelum kejohanan itu apabila bergambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sekali gus mendapat desakan daripada penyokong supaya disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

Wenger percaya situasi yang ditimbulkan penyokong pasukan itu menjejaskan mentaliti pemain Arsenal terbabit.

“Saya begitu mengenali Ozil, dia pemain yang begitu berbakat namun mentalitinya dan Gundogan mungkin terjejas disebabkan insiden sebelum Piala Dunia itu,” kata Wenger.

“Mereka diragui dalam pasukan mereka sedangkan Ozil memerlukan sokongan. Dia tidak perlukan kontroversi.

“Apabila saya menyaksikan dia beraksi, saya dapat merasai situasi di mana dia mampu untuk bergerak lebih ke hadapan.

“Namun dia begitu berhati-hati dan saya berfikir ‘ayuhlah, ini bukanlah Ozil yang saya kenali, pemain yang mampu beraksi lebih baik.’

“Dia beraksi dengan baik namun saya berpendapat dia tidak beraksi dengan bebas. Dia seakan teragak-agak malah Gundogan langsung tidak beraksi sedangkan dia pemain yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 9:38 PM