Datuk Jamal Nasir. FOTO ZULKEPLI OSMAN
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) wajar mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya dapat ‘melepaskan’ pasukan itu untuk menyertai pusingan kedua kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim hadapan.

Bekas pemain skuad Tok Gajah, Datuk Jamal Nasir Ismail mengakui saingan tertinggi benua Asia itu dapat memberikan cabaran baharu kepada skuad Tok Gajah sekali gus membolehkan mereka menguji sejauh mana kemampuan mereka apabila berhadapan pasukan terbaik di benua ini.

Katanya, satu kerugian sekiranya Pahang terlepas slot untuk beraksi dalam pertandingan itu namun menegaskan mereka perlu bersedia sepenuhnya jika benar-benar serius untuk menyertainya.

“Secara peribadi, saya rasa wajar PBNP mengemukakan rayuan. Peluang sebegini tidak mudah untuk diperoleh namun keputusan untuk membuat rayuan terletak di tangan PBNP.

“Saya melihat pusingan kelayakan ACL ini dapat dijadikan pendedahan kepada pemain sekali gus memberikan pengalaman baharu dalam membantu mereka menjadi pemain yang lebih baik.

“Bagaimanapun, Pahang perlu bersedia membentuk pasukan yang lebih mantap kerana walaupun menjuarai Piala FA, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum mengharungi kelayakan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Pahang beroleh slot ke pusingan kedua kelayakan ACL musim 2019 selepas merangkul Piala FA dengan menundukkan Selangor 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Meskipun berdepan penggantungan dua tahun untuk memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) gara-gara enggan beraksi dalam Piala AFC musim ini, namun PBNP mendapat sinar baharu apabila mereka dibenarkan membuat rayuan.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan mereka boleh mengemukakan rayuan dengan badan induk itu sedia mengkaji semula hukuman yang dikenakan ke atas persatuan itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 6:02 PM