PEMAIN PKNS FC, Bruno Oliveira De Matos (dua kiri) berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Ilham Amirullah Razali dan berjaya menjaringkan gol buat PKNS FC dalam aksi liga super di Stadium Shah Alam. FOTO Owee Ah Chun
Mohd Fitrie Muhamad


PKNS FC kembali ke landasan kemenangan dalam saingan bola sepak Liga Super selepas menundukkan Negeri Sembilan 5-3 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kali terakhir skuad kendalian Datuk K Rajagobal meraih mata penuh ketika menewaskan Kelantan 2-0 pada 19 Jun lalu dan kemenangan itu kembali menghidupkan peluang PKNS untuk sekurang-kurangnya menghuni tangga pertengahan liga.

Pada perlawanan itu, aksi berlangsung lembap, hampir semua lapan gol yang terhasil berlaku hasil kesilapan benteng pertahanan kedua-dua pasukan.

Terdahulu, pada minit ke-11, Faris Ramli meletakkan tuan rumah di depan namun selang 10 minit kemudian, kedudukan kembali seimbang apabila Khairul Anwar Shahrudin meledak gol penyamaan buat Negeri Sembilan.

Kelibat import dari Singapura itu nyata memberi masalah buat skuad Rusa apabila dua gerakannya menghasilkan tambahan dua gol buat PKNS menerusi Safee Sali pada minit ke-25 dan Bruno Matos (m-30).

Ketika aksi memasuki masa kecederaan babak pertama, pemain tengah pelawat, Flavio Beck Junior bertindak pantas menyambar bola muntah sepakan percuma Kim Do Heon untuk menghasilkan gol kedua Negeri Sembilan.

Hanya seminit selepas aksi bersambung, Romel Morales turut melakar nama selaku penjaring buat PKNS namun dua minit selepas itu, Negeri Sembilan kembali mengejar menerusi seorang lagi pemain importnya, Angel Guirado.

Pada minit ke-68, PKNS sepatutnya meraih gol kelima sebaliknya Safee gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh selepas Rafael Ramazotti dijatuhkan.

Pada masa kecederaan, pemain gantian, Khyril Muhymeen Zambri melengkapkan kemenangan PKNS yang menyempurnakan lorongan Jafri Firdaus Chew.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 11:28 PM