POGBA enggan kecewa rangkul Piala Dunia.. FOTO/AFP
Reuters

MOSCOW: Perancis tidak akan mengulangi kesilapan sama seperti dua tahun lalu di mana mereka kalah dalam aksi final Euro 2016, apabila bertembung dengan Croatia bagi merebut gelaran juara Piala Dunia 2018, kata pemain tengahnya, Paul Pogba, hari ini.

Pogba juga menolak andaian bahawa Perancis adalah pasukan pilihan untuk muncul juara dalam aksi final Piala Dunia 2018 bertemu Croatia yang di Stadium Luzhniki, Moscow, Ahad ini.

Perancis yang menewaskan Jerman dalam aksi separuh akhir Euro 2016 di Paris, namun mereka tewas kepada pasukan bukan pilihan Portugal pada masa tambahan.

“Kami sedar mengenai situasi berkenaan dan tidak mahu melakukan kesilapan sama seperti dua tahun lalu. Kami akan berusaha ke arah itu dan akan memberikan segalanya untuk membolehkan kami membawa pulang Piala Dunia sekali lagi ke tanah air.

“Saya berpendapat ketika Euro 2016 kami sudah melakukan yang terbaik, mentaliti tidak seperti sekarang. Saya tidak mahu menipu apabila kami menewaskan Jerman, kami fikir ia adalah perlawanan akhir dan itulah yang menjadi punca kekalahan di final. Saya tidak mahu perkara sama berulang.

“Kami ingat kami sudah menang sebelum perlawanan (final Euro 2016) menetang Portugal berlangsung. Itu tidak akan berulang lagi,” kata Pogba kepada wartawan hari ini.

Skuad Perancis mempamerkan peningkatan sepanjang aksi Piala Dunia 2018 setakat ini apabila mereka menewaskan Argentina, Uruguay dan Belgium di peringkat kalah mati tanpa melalui masa tambahan dan penalti.

Croatia pula perlu melalui sepakan penalti untuk menewaskan Denmark pada peringkat 16 pasukan terbaik dan menentang Russia di peringkat suku akhir. Mereka juga memerlukan masa tambahan untuk merakam kemenangan 2-1 ke atas England dalam aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Pogba menegaskan ia tidak mengambarkan Croatia sebagai sebuah pasukan yang lemah dan tidak mempunyai pemain berbakat.

“Croatia terpaksa melalui perlawanan yang sukar dan mereka berada di belakang, namun mereka mempunyai kekuatan mental. Ada dua pasukan beraksi di perlawanan akhir, ada sebuah piala dan 90 minit lagi.

“Bagi saya kami bukan pasukan pilihan. Kami akan terus berusaha seperti peringkat awal Piala Dunia 2018. Kami tidak akan ragu-ragu , kami akan bermain bersama-sama dan menggunakan segala kekuatan. Kami sedang mengejar sesuatu dan akan melakukan segalanya untuk menang.”

Perancis layak ke final Piala Dunia buat kali ketiga termasuk selepas muncul juara Piala Dunia 1998 dengan menewaskan Croatia di separuh akhir.

Dalam pada itu, Pogba berkata misi utamanya adalah bukan hanya untuk mengekang pergerakan perancang utama Real Madrid, Luka Modric, malah pemain Croatia lain.

“Skuad Croatia bukan hanya Modric seorang sahaja, malah mereka memiliki (Mario) Mandzukic, (Ivan) Rakitic and (Ivan) Perisic.

“Malah, pemain pertahanan mereka juga hebat. Jadi saya tidak fikir hanya Modric seorang sahaja perlu dikawal. Matlamat kami adalah untuk menang perlawanan akhir,” kata Pogba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 10:11 PM