POSTER yang memenuhi bandar Turin memaparkan kehadiran bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo ke Juventus. FOTO Reuters
POSTER yang memenuhi bandar Turin memaparkan kehadiran bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo ke Juventus. FOTO Reuters
AFP

ROME: Penyokong gergasi Itali, Juventus gembira pasukan mereka mendapatkan Cristiano Ronaldo pada pembelian musim ini  – namun persatuan pekerja mengadakan bantahan dengan mendakwa pembelian bernilai 100 juta euro (RM470.82 juta) itu keterlaluan.

Persatuan USB mengesahkan hari ini mereka akan mengadakan bantahan selama tiga hari bermula Ahad ini di pangkalan Fiat, dekat bandar selatan Melfi.

“Adalah tidak boleh diterima bahawa pihak pengurusan terus mahukan pengorbanan besar dari pekerja (Fiat Chrysler) sejak bertahun lalu.

“Pada masa sama pengurusan mahu menghabiskan berjuta euro mahu membeli pemain,” kata persatuan itu.

Pengeluar kereta Fiat berpangkalan di bandar Juve, Turin dan kedua-duanya dimiliki keluarga Agnelli.

Persatuan pekerja meminta pemilik Fiat untuk melabur dalam tenaga kerja bagi mengukuhkan kewangan “beribu pekerja dan bukan hanya seorang.”

Ronaldo, 33, menyertai Juve selepas sembilan tahun mengumpul pelbagai trofi di Real Madrid, yang menyingkirkan skuad ‘Zebras’ dari Liga Juara-Juara.

Dia juga menewaskan Juventus pada final 2017 dan pemain Portugal itu antara yang menjaringkan gol pada kedua-dua pertemuan di pentas final berkenaan.

Walaupun persatuan kecewa apabila Juve akan membayar Ronaldo gaji tahunan dilaporkan bernilai 30 juta euro (RM141.25 juta) setahun, Banca IMI mendakwa kehadiran pemain itu akan memperkukuhkan jenama kelab itu secara global.

Pada masa sama, ia mampu menaikkan jualan tiket kepada 7 juta euro (RM32.96 juta) setahun dan meningkatkan jualan, pemasaran dan penajaan bernilai jutaan euro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 4:19 AM