NICOL tak rela terlepas emas Sukan Asia. FOTO/FAIL
Aida Adilah Mat


MISI memburu dua emas yang disandarkan kepada skuad skuasy negara bukan satu yang mustahil untuk direalisasikan andai kesemua pemain dapat mempamerkan mutu permainan terbaik masing-masing.

Malah ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang akan turun mempertahankan dua emas yang dimenangi pada edisi lalu di Incheon Korea Selatan, turut meluahkan nada sama dan percaya akan kemampuan barisan pemain biarpun ia adalah kombinasi pemain lama dan baru.

Menurunkan dua pemain senior yang diketuai oleh Nicol sendiri, skuad skuasy negara akan turut dianggotai oleh Low Wee Wern, S Sivasangari dan Aifa Azman.

Nicol akan beraksi dalam acara berpasukan wanita dan perseorangan bersama-sama S Sivasangari masih lagi menjadi taruhan terbaik buat negara mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi sebelum ini dalam acara berpasukan dan perseorangan.

“Ini adalah kali kedua acara berpasukan dipertandingkan dan kita juga mempunyai barisan terbaik. Saya gembira Wee Wern kembali dalam skuad selepas sekian lama.

“Saya rasa jika kami semua bermain keputusan positif akan datang. Jadi kita lihat apa keputusannya nanti,” katanya.

Nicol yang baru kembali ke tanah air berkata, dia kini dalam proses mempersiapkan diri ke temasya Sukan Asia dan cukup teruja untuk beraksi selepas berehat sejurus tamatnya temasya Komanwel Gold Coast, April lalu.

“Persediaan semua berjalan lancar. Saya berehat untuk satu tempoh sekitar April dan Mei iaitu selepas Komanwel dan ia satu yang bagus untuk saya yang memang memerlukan masa bertenang.

“Saya kini tak sabar untuk kembali ke dalam gelanggang dan cuba mempertingkatkan mutu permainan saya dalam latihan nanti,” katanya yang ditemui pada selepas pertemuan Ketua Kontinjen ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bersama pemain di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Untuk rekod pemain berusia 34 tahun menyumbangkan empat emas sepanjang lima penyertaannya dalam acara perseorangan di Sukan Asia sebelum ini dan empat tahun lalu pasukan skuasy negara menyumbangkan dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 8:57 PM