Christie Jayaseelan (kanan) mahu julang Piala Perdana di Kuching. FOTO BERNAMA


KUANTAN: FELDA United FC berazam menamatkan misi menjulang Piala Liga Perdana di Stadium Sarawak, Kuching, apabila bertemu Sarawak, Selasa ini. 

Dengan hanya memerlukan tiga mata untuk mengesahkan kejuaraan, kelab itu berjanji untuk merealisasikannya biarpun aksi liga masih berbaki tiga perlawanan. 

Pemain tengah The Fighters, Christie Jayaseelan berkata, tiada aksi bersahaja, sebaliknya persembahan meyakinkan untuk memastikan misi kelab itu ditunaikan lebih awal. 

"Kami tidak boleh lagi menunggu saat akhir untuk dinobatkan juara liga musim ini. Oleh itu, kami perlu menewaskan Sarawak untuk mencapai sasaran ditetapkan. 

"Sepatutnya, prestasi konsisten dipersembahkan untuk muncul juara lebih awal tetapi keputusan tidak memihak kepada FELDA United menyebabkan kami perlu menunggu perlawanan berikutnya. 

"Tapi, dengan hanya tiga mata diperlukan dan bertemu Sarawak Selasa ini, kami akan melakukan segalanya, sekali gus meraikan kejayaan," katanya. 

Ditanya peluang menundukkan Sarawak di tempat lawan, Christie berkata, skuad itu tidak boleh memandang mudah keupayaan tuan rumah. 

Dia bersama rakan sepasukan tidak boleh terlalu yakin kerana ia boleh mengundang padah jika gagal mempamerkan persembahan seperti yang diharapkan. 

"Saya percaya Sarawak akan memberi tentangan sengit kerana kedudukan mereka dalam saingan liga juga belum selamat," katanya. 

Selepas 17 perlawanan, FELDA United kekal menerajui liga dengan 38 mata dan hanya memerlukan satu kemenangan untuk dinobatkan sebagai juara.  Jika gagal menewaskan Sarawak, skaud kendalian B Sathianathan perlu menunggu perlawanan seterusnya bertemu PDRM pada 23 Julai dan Pulau Pinang (26 Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 5:36 PM