DALIC (tengah) mahu pemain berbangga dengan prestasi mereka. FOTO/AFP
DALIC (tengah) mahu pemain berbangga dengan prestasi mereka. FOTO/AFP
Reuters

MOSCOW: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menegaskan pemainnya harus berbangga dengan prestasi cemerlang di Piala Dunia dan persembahan mereka pada perlawanan akhir walaupun kalah 4-2 kepada Perancis di Stadium Luzhniki.

Pemain Croatia diberi sambutan hangat oleh peminat mereka selepas memberi saingan sengit kepada Perancis selama 90 minit, mendominasi permainan walaupun tewas dengan jaringan sendiri, penalti yang dihadiahkan menerusi video bantuan pengadil (VAR) dan dua gol babak kedua.

Jurulatih berusia 51 tahun itu mengumpulkan pemainnya dalam bentuk bulatan di padang dan menjelaskan mereka tidak perlu menganggap kekalahan sebagai kegagalan.

“Sudah tentu kami kecewa, tetapi saya mengatakan bahawa mereka perlu ‘mendongakkan kepala dengan tinggi’.

“Anda tiada alasan untuk berasa tidak puas hati, anda sudah memberikan semuanya dan anda harus bangga dengan persembahan di kejohanan ini,” katanya pada sidang media.

“Ia pasti hebat, jika ada orang yang memilih kami sebagai naib juara pada permulaan kejohanan.

“Kadang-kadang dalam bola sepak, anda kalah, itulah bola sepak, tetapi kami bermaruah dalam kejayaan kami dan kami harus bermaruah dalam kekalahan.”

Croatia bangkit daripada ketinggalan satu gol dalam tiga perlawanan sebelum ini, meraih kemenangan dalam masa tambahan dan dengan dua penentuan sepakan penalti sebelum mara ke final.

Dalic menganggap gol sendiri pada minit ke-18 dan sepakan penalti Perancis yang diberikan tujuh minit sebelum rehat selepas pengadil menggunakan VAR, menjadi titik perubahan permainan pasukannya.

“Saya tidak bercakap mengenai pengadil tapi saya katakan satu perkara ini: Dalam perlawanan akhir Piala Dunia, anda tidak patut memberi penalti seperti itu,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 7:39 AM