DUA pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing berebut slot ke Piala Malaysia. FOTO Osman Adnan
DUA pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing berebut slot ke Piala Malaysia. FOTO Osman Adnan
Zulfaizan Mansor


SELEPAS juara Liga Super sah menjadi miliki Johor Darul Ta’zim (JDT), kini perhatian lebih terarah kepada persaingan dua pasukan terbawah iaitu Kelantan dan Negeri Sembilan.

Persaingan dua pasukan itu tampak lebih menarik berbanding perebutan tempat kedua antara Perak, Pahang, Kedah, Terengganu dan PKNS FC.

Apa tidaknya, skuad The Red Warriors (TRW) dan Hobin Jang Hobin bukan saja bersaing untuk keluar daripada zon penyingkiran, malah turut berjuang untuk merebut slot ke Piala Malaysia yang akan berlangsung bulan depan.

Ia susulan peraturan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menetapkan hanya 11 daripada 12 pasukan Liga Super layak bersaingan dalam piala berprestij itu selain lima pasukan dari Liga Perdana.

“Ya, 11 pasukan Liga Super dan lima dari Liga Perdana akan layak ke Piala Malaysia. Kelantan atau Negeri Sembilan mungkin menjadi salah satu pasukan yang tidak akan layak.

“Piala Malaysia akan berlangsung seminggu selepas berakhir liga, maknanya dalam hujung minggu pertama bulan Ogos,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Negeri Sembilan yang berada di kedudukan tercorot dan ketinggalan tiga mata dari Kelantan di tangga ke-11 tampak lebih tertekan apabila tidak boleh tercicir mata dalam baki tiga perlawanan lagi.

Malah, skuad Hobin Jang Hobin akan sah tersingkir ke Liga Perdana sekiranya tewas kepada Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Selain itu, Kelantan juga tampak berdepan laluan berliku dalam perjuangan mereka untuk kekal di Liga Super dan merebut slot Piala Malaysia apabila akan berdepan JDT, Pahang dan Terengganu dalam tiga aksi terakhir. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:03 PM
Digital NSTP Subscribe