PEMAIN JDT Muhammad Syafiq Ahmad (biru) sedang diasak oleh Pemain PKNP FC Muhammad Sabir Abdul Salim. Foto BERNAMA
Azizan Hashim


JUARA liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti dijangka mengatasi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC 2-1 di Stadium Perak, malam tadi .

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak mudah buat anak buah Raul Longhi yang terpaksa menunggu selama 73 minit untuk memecah kebuntuan.

Dalam perlawanan ibarat antara guru dengan murid itu, JDT menguasai permainan tetapi tidak banyak mencipta peluang.

Dua percubaan Ahmad Hazwan Bakri yang tersasar pada minit ke-13 dan 39 adalah gambaran perjalanan yang didominasi sepenuhnya anak buah Raul Longhi.

Tuan rumah turut berpeluang tetapi Franklin Clovis dan Hafiz Ramdan gagal menyudahkan peluang.

Babak kedua juga menyaksikan penguasan pelawat yang menggandakan asakan untuk memecah kebuntuan.

Usaha mereka akhirnya berjaya apabila Fernando Marquez merembat kencang dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh Syazani Mat Puat pada minit ke-73.

Syazani tumpas lagi dua minit kemudian apabila Muhammad Syafiq Ahmad menemui sasaran untuk JDT mendahului 2-0.

Bagaimanapun pemain gantian, Fandi Ahmad merapatkan jurang buat tuan rumah pada minit ke-78 tetapi gol penyamaan diharapkan tidak menjelma sehingga ke wisel penamat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:49 AM