ONG KIM SWEE
ONG KIM SWEE
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee kini semakin hampir untuk memiliki skuad lengkap bagi mengharungi aksi Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.

Ia selepas satu lagi pasukan, Kedah mengesahkan mereka sedia untuk melepaskan tiga pemain Lang Merah yang dipilih mewakili negara pada temasya terbabit.

Tiga pemain itu ialah penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim dan dua pemain yang bakal mengisi kuota pemain lebih usia iaitu pertahanan kanan, Rizal Ghazali dan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar.

Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mengakui pihaknya akur dengan tuntutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meskipun bakal kehilangan tiga pemain tonggak itu bagi kempen Piala Malaysia.

“Kami tiada halangan untuk membantu pasukan kebangsaan di Sukan Asia. Kami juga akan melepaskan pemain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain Kedah, tiga pasukan sudah menyatakan kesediaan untuk melepaskan pemain masing-masing iaitu juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (tujuh pemain) dan JDTII (seorang).

PKNS FC juga tidak berdepan masalah melepaskan dua pemainnya iaitu Jafri Firdaus Chew dan Rodney Celvin Akwensivie sementara Kuala Lumpur sedia kehilangan khidmat penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil dan dua pertahanannya, Irfan Zakaria serta Syazwan Andik.

Bagaimanapun, Kim Swee dijangka dapat menghimpunkan lebih daripada 18 pemain memandangkan beberapa pasukan lain seperti FELDA United, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan PJ Rangers sudah tentu tidak keberatan melepaskan setiap seorang pemain masing-masing.

Sebelum ini, kebimbangan tercetus apabila Kim Swee sekali lagi berdepan masalah apabila ada pasukan yang enggan melepaskan pemain memandangkan jadual Sukan Asia Jakarta-Palembang bertembung dengan kempen Piala Malaysia.

Berdasarkan syarat pertandingan, Kim Swee perlu menghimpunkan sekurang kurangnya 18 pemain namun jika beliau gagal berbuat demikian, skuad B-23 kemungkinan besar perlu menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 4:59 PM