ZUBOVICH (kanan) sudah ledak 12 gol bersama Melaka. FOTO/FAIL
ZUBOVICH (kanan) sudah ledak 12 gol bersama Melaka. FOTO/FAIL
Nazri Abu Bakar


PELEDAK berbisa Melaka United (MU) kelahiran Belarus, Yahor Zubovich tekad mencipta lebih banyak gol pada saingan Piala Malaysia bersama skuad itu musim ini.

Selepas mencetak 12 gol di Liga Super dan 3 gol di pentas saingan Piala FA setakat ini, pemain itu nyata menyimpan azam untuk menghadiahkan lebih banyak jaringan untuk meletakkan skuad berkenaan terus digeruni.

Malah, sudah pasti pemain terbabit juga mahu menjulang piala berprestij berkenaan, sekali gus mencipta sejarah buat skuad Hang Tuah. “Bagaimanapun, saya akui ia bukan mudah untuk dilakukan kerana semua pasukan yang layak memiliki kelebihan masing-masing.

“Jadi, saya enggan memikirkan lebih mendalam mengenai situasi itu, sebaliknya fokus usaha melakukan jaringan dan membantu rakan dengan hantaran berkualiti untuk merobek kubu lawan.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan gabungan bersama rakan sepasukan, sekali gus menyumbang kebangkitan MU berbanding pusingan pertama dan pada masa sama membantu skuad ini kekal di Liga Super,”katanya.

Zubovich turut yang meledak dua gol ketika MU menewaskan Selangor 3-2 Sabtu lalu turut menganggap skuad Hang Tuah kian memperoleh rentak sebenar di bawah bimbingan ketua jurulatih, E Elavarasan.

Namun, dia enggan terlalu selesa menerusi sumbangan jaringan itu sehingga berada di ranking lima penjaring terbanyak liga. Sebaliknya akan terus berusaha untuk menjadi pemusnah kubu lawan.

“Tumpuan saya kini adalah berdepan cabaran Negeri Sembilan pada aksi terakhir liga di Paroi Sabtu ini, sebelum bersedia mengharungi Piala Malaysia selepas itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:22 PM