ROWE (tengah) ketika menjaringkan gol Arsenal. FOTO/REUTERS
AFP

SINGAPURA: Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata, Emile Smith Rowe sudah boleh dianggap berjaya selepas pemain berusia 17 tahun itu tampil dengan aksi menarik apabila menjaringkan gol pada perlawanan yang menyaksikan Gunners tewas menerusi penalti ketika menentang Atletico Madrid di Singapura semalam.

Dua hari sebelum menyambut hari lahir ke-18, Smith Rowe menjaringkan gol penyamaan Arsenal menerusi rembatan lencong bagi membolehkan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sebelum Atletico yang dibimbing Diego Simeone, menang 3-1 pada penentuan penalti di Piala Juara Antarabangsa.

Smith Rowe adalah antara tiga pemain remaja yang mengisi kesebelasan utama ketika Emery merehatkan beberapa pemain Piala Dunia termasuk Mesut Ozil.

Emery gembira melihat aksi pemain tengah kelahiran Croydon itu yang dijangka bakal menjadi antara nadi skuad England selepas ini. Tetapi, beliau enggan memberitahu sama ada pemain remaja itu akan terus dipertaruhkan selepas ini.

“Jaringan Smith bagus untuk dirinya dan pasukan tetapi saya rasa, apa yang penting ialah semua individu, pemain muda dan baru, dapat bekerjasama dengan baik hari ini,” kata Emery.

“Dia membesar bersama akademi kami dan saya percaya bahawa kami perlu memberi peluang untuk mereka terus kekal di sini. Dia perlu terus diberikan peluang untuk bermain perlawanan seperti hari ini,” tambah Emery.

“Dengan cara itu dia boleh meningkatkan lagi prestasinya ketika latihan. Saya gembira dengan usahanya di padang tetapi ia bukan hanya sehari sebaliknya dia perlu melakukannya setiap hari. Dia diturunkan hari ini kerana prestasi ketika latihan semakin meningkat.”

Di bawah peraturan pertandingan Piala Juara Antarabangsa, pasukan yang seri tidak akan diberi tambahan masa sebaliknya penentuan pemenang dibuat menerusi penalti di mana penjaga gol gantian Atletico, Antonio Adan bertindak cemerlang dengan menyelamatkan tiga tendangan sebelum dia sendiri menjaringkan gol kemenangan.

Simeone turut gembira dengan skuad remajanya yang masuk menggantikan pemain senior seperti Antoine Griezmann, Diego Costa dan Koke.

“Kami seronok melihat pemain muda ini beraksi. Ini adalah tempoh baik buat mereka membuktikan kemampuan serta apa ilmu yang mereka peroleh sepanjang menjalani latihan,” katanya.

“Mereka sedar bahawa Costa, Koke serta semua pemain lain akan hanya menyertai kami sebelum musim bermula Ogos ini dan ketika ini apa yang mereka lakukan adalah sangat penting.”

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan simpanan dan Arsenal mendominasi babak pertama sebelum gawang Gunners dibolosi pada hujung babak pertama.

Angel Correa membuat hantaran lintang yang ditanduk Vietto dan gagal diselamatkan penjaga gol baru Arsenal, Bernd Leno.

Pemain Jerman itu yang menggantikan Petr Cech, jarang diuji selepas Arsenal memaksa Atletico lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Cubaan Alexandre Lacazette gagal diterjemahkan dengan jaringan termasuk tindakan cemerlang penjaga gol Atletico, Jan Oblak selepas pemain Perancis itu menerima hantaran Smith Rowe.

Smith Rowe menyamakan kedudukan pada awal babak kedua sebelum beberapa pertukaran yang dilakukan kedua-dua jurulatih, sedikit mengganggu rentak permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 10:08 AM