PEMAIN PKNS FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez meraikan jaringan gol ketika menentang Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam. FOTO Owee Ah Chun.
Aziman Rosdi

 

PELUANG Perak untuk menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua musim ini belum terjamin selepas tumpas 4-1 di tangan PKNS FC 4-1 perlawanan terakhir liga di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan mereka perlu menunggu keputusan dua pencabar terdekat Pahang dan Terengganu yang akan turun beraksi menentang Kelantan dan Selangor esok.

Meskipun perebutan kejuaraan sudah berakhir dengan gelaran liga menjadi milik Johor Darul Ta’zim, pertembungan PKNS dan Perak tetap menjadi tumpuan.

Perak yang mengumpul 36 mata di kedudukan kedua liga selepas 21 perlawanan masih memerlukan kemenangan bagi mengelak daripada dipintas Pahang dan Terengganu (34 mata).

Namun pasukan tuan rumah yang mengintai penamat di kelompok lima teratas tidak memberi laluan mudah apabila mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Bruno Matos.

Bagaimanapun skuad The Bos Gaurus kendalian Mehmet Durakovic mengikat kedudukan lapan minit kemudian hasil tandukan penyerang import dari Brazil Gilmar Da Silva.

Penyerang tinggi lampai PKNS Rafael Ramazotti memastikan mereka kembali di depan pada minit ke-39 apabila menanduk masuk bola gerakan sepakan sudut menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy di gawang.

Bersambung babak kedua, Perak menggandakan asakan namun beberapa percubaan mereka gagal membuahkan hasil termasuk sepakan percuma gilmar yang dinafikan penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin.

Tapi segalanya lebur buat Perak yang mengintai slot ke pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan apabila Matos sekali lagi meledak gol di minit ke-78 sebelum Romel Oswado meletakkan PKNS selesa dengan kemenangan 4-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 11:22 PM