PEMAIN Selangor Mohd Amri Yahya (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Terengganu Adib Aizuddin Ab Latif pada saingan Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini. Foto BERNAMA
Zulfaizan Mansor

 

IMPIAN Terengganu untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini sebagai naib juara musnah apabila tewas 2-0 kepada Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.

Kekalahan itu menyaksikan Terengganu kekal di kedudukan kelima dengan 34 mata, sementara Selangor menghuni tangga kelapan selepas mengumpul 27 mata.

Selangor yang dilihat lebih banyak mengasak kubu Terengganu sejak awal permainan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-23 dan 39, namun kedua-dua percubaan jarak dekat Rufino Segovia berjaya diselamatkan penjaga gol, Suffian Rahman Kungi Raman.

Terengganu juga mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-51, bagaimanapun percubaan kapten, Kipre Tchetche sekadar menggegar tiang gol.

Jaringan yang dicari Selangor akhirnya muncul pada minit ke-72 selepas rembatan deras Syahmi Safari berjaya menewaskan Suffian.

Seminit sebelum aksi sebenar tamat, Rufino terus menceriakan kem Selangor dengan jaringan kedua Red Giants apabila rembatan lencongnya ke penjuru kiri pintu gol gagal diselamatkan Suffian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 11:25 PM