Skip this ad x
PEMAIN Kelantan, Muhammad Danial Ashraf (kiri) meraikan gol pertama bersama rakannya pada perlawanan terakhir Liga Super 2018 menentang Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, malam ini. FOTO Fathil Asri
Hasbullah Ibrahim


KELANTAN mengesahkan tempat ke saingan Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan Pahang 2-1 pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, malam ini.

Bagaimanapun, skuad Kijang yang menamatkan saingan liga di tangga ke-11 selepas mengumpul 18 mata terpaksa beraksi dalam saingan Liga Perdana, musim depan.

The Red Warriors (TRW) mencipta peluang pada minit ketiga dan minit ke-12, namun percubaan daripada Muhammad Danial Ashraf Abdullah dan Cristiano Santos tersasar.

Pahang hampir mendahului tuan rumah menerusi percubaan Muhammad Zubir Azmi pada minit ke-19, namun bola ditampan keluar penjaga gol Kelantan, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

Akhirnya, tuan rumah menghukum kealpaan benteng pelawat pada minit ke-42 menerusi Danial Ashraf yang memerangkap Mohd Helmi Eliza Elias selepas mendapat umpanan tepat daripada Mohd Haikal Nazri.

Bersambung babak kedua, Iwuji Amutu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-65 selepas mudah menyudahkan sepakan lintang Matthew Davies untuk menewaskan Faridzuean Kamaruddin.

TRW yang dibimbing Yusri Che Lah tidak menunggu lama untuk kembali mendahului menerusi Shafiq Shaharudin pada minit ke- 76 sekali gus mengesahkan kemenangan terakhir dalam kempen Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 11:36 PM