ARIYA JUTANUGARN
AFP

LONDON: Juara Terbuka AS dari Thailand, Ariya Jutanugarn memenangi Terbuka Wanita Scotland untuk muncul pemain nombor satu dunia, mencatat lima bawah par 66 pada pusingan akhir bagi keseluruhan 13 bawah par di lapangan gol Gullane, semalam.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang muncul pemain golf pertama Thailand meraih kejuaraan utama pada Terbuka British 2016, memulakan hari berkongsi pendahulu dengan pemain Korea Selatan, Amy Yang dan menamatkannya satu pukulan di depan pemain Australia, Minjee Lee, yang turut merakam 66.

“Ia terlalu bermakna buat saya. Saya katakan kepada kedi saya minggu ini saya mahu menang sekali di lapangan golf tepi laut dan saya melakukannya jadi ia satu impian menjadi kenyataan,” kata Ariya.

Ariya akan menghadapi Terbuka Wanita British di Royal Lytham & St Annes minggu ini dengan keyakinan tinggi namun dia sedar kemenangan di lapangan golf tepi laut itu tidak menjadikannya sebagai pilihan utama kejuaraan.

“Masih sukar buat saya dan saya perlu bersabar,” katanya.

“Perasaan saya amat bagus ketika ini jadi harapnya minggu depan saya akan mempamerkan permainan A saya.”

Kemenangan Ariya - ketiga buatnya tahun ini - akan menyaksikannya menduduki ranking nombor satu dunia buat kali kedua dalam kariernya hari ini, selepas menghuni tangga teratas selama dua minggu pada Jun 2017.

“Ia terlalu bermakna buat saya menjadi pemain nombor satu tapi sebelum ini ia tidak begitu banyak membantu, jadi saya hanya perlu terus bekerja keras.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:01 AM