PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan. FOTO Fathil Asri
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) belum memutuskan untuk menerima perletakan jawatan dua Naib Presidennya dan keputusan muktamad mengenainya hanya dibuat pada Mesyuarat Exco yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata tindakan dua pemimpin itu, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim yang mahu melepaskan jawatan tidak sepatutnya dilakukan ketika persatuan berada dalam keadaan kesusahan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum diputuskan secara rasmi oleh KAFA kerana sebarang keputusan perlu dimuktamadkan dengan mengambil kira suara Exco.

"Saya rasa isu itu tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan ketika KAFA kini berada dalam kesusahan.

"Tidak patut mereka letak jawatan kerana mereka juga dahulu bersusah payah mahukan jawatan itu dalam pertandingan tapi bila dalam kesusahan begini mereka mahu melepaskan sahaja.

"Cuma apa yang boleh katakan sebarang keputusan belum belum dibuat walaupun saya sudah menerima surat perletakan jawatan mereka dan keputusan rasmi akan dibuat melalui mesyuarat Exco dalam masa terdekat," katanya di sini, hari ini.

Kekosongan jawatan itu menjadikan KAFA hanya mempunyai seorang lagi Naib Presiden, Nik Pakheruddin Nik Abd Kadir yang tidak meletakkan jawatan.

Difahamkan perkara itu berlaku apabila tiada kesefahaman dan kata sepakat dalam menguruskan pasukan.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani mengakui untuk menguruskan sebuah persatuan bolasepak ini memerlukan daya ketahanan selain komitmen yang tinggi untuk memajukan sesebuah pasukan.

Oleh itu, usahawan batik itu menegaskan dia menjadikan setiap pemain dan penyokong pasukan sebagai sumber kekuatan untuk terus bertahan membawa pasukan itu walaupun terpaksa berdepan banyak masalah.

"Memang ia memerlukan kekuatan daya tahan bila menguruskan bolasepak lebih-lebih lagi berdepan pelbagai masalah oleh itu saya mengharapkan semua Exco dapat bersama membantu saya dalam membina semula pasukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 6:55 PM