PENYERANG Brazil, Neymar. FOTO Reuters
PENYERANG Brazil, Neymar. FOTO Reuters
Reuters

DIJADIKAN bahan ejekan oleh seluruh dunia kerana reaksi melampau selepas dikasari ketika kempen Piala Dunia Russia, penyerang Brazil, Neymar mengakui kadang kala reaksinya agak berlebihan.

Dalam video 90 saat yang dibuat untuk penajanya, Gillette dan disiarkan di akaun-akaun media sosial serta televisyen Brazil, Neymar berusaha untuk menambat kembali hati peminat yang mengkritik sikapnya.

“Stud di betis, lutut di belakang, kaki saya dipijak,” kata Neymar. “Anda mungkin merasakan saya berlebih-lebihan dan kadang kala saya memang melakukannya. Tetapi hakikatnya saya memang dikasari di atas padang.

“Masih ada sikap kebudak-budakan dalam diri saya. Ada kala dia membuatkan dunia kagum dan kadang-kadang dia membuatkan dunia benci.”

Penyerang Paris St Germain itu berharap Piala Dunia Russia akan melonjak namanya setaraf Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo - dua pemain yang saling bersaing untuk anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sepanjang sedekad lalu.

Sebaliknya dia tersingkir di suku akhir apabila Brazil tewas kepada Belgium dan peminat-peminat lebih banyak bercakap tentang lakonannya ketika dikasari, bukan permainannya.

Bekas pemain Santos dan Barcelona berusia 26 tahun itu yang cedera di kaki pada Februari dan kembali pulih hanya beberapa hari sebelum Piala Dunia, memberitahu peminatnya di Brazil yang dia kini berusaha untuk menjadi individu lebih baik dan menangani kekecewaan dilontarkan terhadapnya dalam bola sepak.

“Apabila saya tampak seperti biadap, bukan kerana saya anak manja, ia kerana saya belum belajar menangani kekecewaan,” katanya dalam video hitam putih itu.

“Saya memerlukan masa untuk menerima kritikan anda, ia mengambil masa untuk saya melihat ke dalam cermin dan menjadi lelaki berbeza. Tetapi saya di sini, dengan wajah baru dan hati yang terbuka. Saya jatuh tetapi hanya mereka yang jatuh mampu bangun.

“Anda boleh terus membaling batu atau membuang batu itu dan membantu saya berdiri. Apabila saya berdiri di atas dua kaki saya, seluruh Brazil berdiri bersama saya.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:24 PM