SANDLER adalah pembelian ketiga City. FOTO/CITY
Reuters

LONDON: Manchester City mengikat pemain pertahanan Philippe Sandler dari kelab utama Belanda, PEC Zwolle, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu, produk akademi remaja Ajax Amsterdam, mewakili pasukan Bawah 20 Tahun Belanda dan boleh beraksi sebagai pertahanan tengah atau pemain tengah bertahan.

City tidak mendedahkan yuran perpindahan pemain itu, namun laporan media menyebut bayaran sekitar 3 juta euro (RM14 juta). Laporan itu turut menyatakan Sandler mungkin dipinjamkan semula ke kelab di Belanda.

Sandler adalah pembelian ketiga City pada musim panas kali ini susulan kehadiran penyerang Riyad Mahrez dan pemain tengah bertahan Claudio Gomes ke Etihad.

City berdepan juara Piala FA, Chelsea pada aksi Perisai Komuniti Ahad ini, sebelum anak buah Pep Guardiola membuka tirai kempen liga menentang Arsenal pada 12 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 11:31 AM