PEMAIN Pahang meraikan kemenangan Piala FA. FOTO Swadi Alias
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

 

PEMAIN pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli mengakui saingan Kumpulan D Piala Malaysia amat mencabar dan memerlukan persembahan konsisten jika mahu skuad itu melangkah lebih jauh.

Dia berkata, ini kerana Selangor dan PKNP FC sudah pasti mahu menebus kekecewaan mereka apabila disekat daripada menjulang Piala FA musim ini.

"Saya percaya mereka (Selangor dan PKNP) akan membalas dendam tewas, masing-masing dalam aksi final dan separuh akhir Piala FA lalu.

"Berdepan Selangor dan PKNP memerlukan kami lebih bersedia terutama dari segi mental untuk mengekang serangan lawan yang padu.

"Bagaimanapun kami tidak boleh memandang mudah keupayaan Sabah biarpun mereka beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini," katanya yang turut dikenali sebagai Tocang.

Justeru, Faisal berkata, tumpuan skuad Tok Gajah bukan saja memperkasakan pertahanan tetapi jentera serangan diharap lebih berbisa.

Katanya, masalah ketumpulan bahagian serangan dalam saingan Liga Super akan diatasi sebaik kempen Piala Malaysia bermula Sabtu ini.

"Kami tidak boleh hilang mata terutama beraksi di laman sendiri dan fokus utama adalah mempertingkatkan prestasi dan sentiasa konsisten pada setiap perlawanan.

"Pada masa sama, misi kami adalah muncul juara kumpulan dan ia diharap menjadi kenyataan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 7:28 PM