PEMAIN Tottenham Hotspur, Son Heung-min. FOTO Reuters
AFP

SON Heung-min akan terlepas dua perlawanan pertama Korea Selatan pada Piala Asia Januari depan menerusi perjanjian dengan Tottenham Hotspur bagi membolehkan dia dilepaskan bagi saingan Sukan Asia bulan ini, kata Persatuan Bolasepak Korea (KFA) hari ini.

Penyerang Korea Selatan itu akan ke Indonesia bagi saingan Sukan Asia – dengan pingat emas dimenangi membolehkan dia dikecualikan daripada perkhidmatan tentera – ketika saingan pembukaan Liga Perdana menentang Newcastle United akan berlangsung pada 11 Ogos, kata jurucakap KFA.

Spurs sebenarnya mahu mengekalkan Son sehingga 18 Ogos, apabila mereka dijadualkan berdepan Fulham dalam saingan Liga Perdana.

Itu akan menyebabkan pemain berusia 26 tahun itu tidak akan bermain pada saingan peringkat kumpulan temasya mini-Olimpik Asia itu sedangkan kejohanan akan bermula 14 Ogos hingga 2 September.

Spurs bagaimanapun mengalah dengan mencapai perjanjian dengan mengetepikan Son bagi saingan Piala Asia pada 7 dan 11 Januari berdepan Filipina dan Kyrgyzstan selain aksi persahabatan pada November.

Ada kemungkinan buat pemain bola sepak diberikan pengecualian bagi latihan wajib tentera Korea Selatan selama 21 bulan dan ia berlaku pada 2002, apabila pasukan kebangsaan negara itu mara ke separuh akhir Piala Dunia dan pada 2014 apabila mereka menang emas Sukan Asian di Incheon.

Bagaimanapun, Son terlepas kejayaan itu pada 2014 apabila bekas kelabnya, Bayer Leverkusen, enggan melepaskannya.

Son yang kini bersama jelajah pra musim Spurs di Amerika Syarikat, berkata dia “bersalah meninggalkan rakan sepasukan” untuk saingan Sukan Asia pada permulaan musim Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 7:56 PM