MODRIC terima anugerah Bola Emas pada Piala Dunia lalu. FOTO/AGENSI
Agensi

MADRID: Presiden Real Madrid, Florentino Perez menegaskan sebarang perjanjian untuk mendapatkan Luka Modric perlu diselesaikan dengan pembayaran klausa pelepasan 750 juta euro (RM3.45 bilion).

Nilai Modric meningkat dengan mendadak selepas Piala Dunia di Russia apabila membantu Croatia melangkah ke final sebelum tewas 2-4 kepada Perancis.

Tetapi prestasi menakjubkan yang ditampilkan pemain tengah berusia 32 tahun itu menyaksikannya dinobatkan pemenang anugerah Bola Emas (Pemain Terbaik Kejohanan).

Antara yang berminat mendapatkan khidmatnya ialah kelab Itali, Inter Milan yang berharap Modrid sudah bersedia untuk memberitahu juara Eropah itu dia mahu mencari cabaran yang baharu.

Tetapi Perez kemudian tampil menghancurkan segala harapan buat pasukan yang berminat mendapatkan bintangnya itu dengan meletakkan harga yang tidak masuk akal.

“Satu-satunya kemungkinan Modric akan berpindah ialah dengan membayar 750 juta euro (RM3.45 bilion),” kata Perez kepada wartawan.

Tonggak tengah yang terkenal dengan ketenangan dan cukup kreatif itu sedang menikmati cuti Piala Dunia dengan kontraknya di Real akan tamat pada Jun 2020.

Komen Perez itu dijangka akan memberi khabar duka berganda buat Inter selepas cubaan mereka untuk mendapatkan pemain Bayern Munich, Arturo Vidal juga difahamkan akan mengalami kegagalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:08 PM