SAFIRUL AZLI ABU BAKAR
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Hala tuju Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) akan ditentukan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengarah Kanan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar enggan menjelaskan spekulasi berkaitan program berkenaan akan diletakkan sepenuhnya di bawah FAM.

Sebaliknya Safirul menjelaskan pihaknya sedia memberi kerjasama kepada semua pihak khususnya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam membuat keputusan mengenai masa depan program berkenaan.

“Menteri (Syed Saddiq) sudah mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pemegang taruh NFDP iaitu KBS, KPM dan FAM bagi mendengar maklum balas tentang NFDP sebelum membuat keputusan halatuju program berkenaan selepas ini,” kata Safirul.

“Semalam adalah mesyuarat pertama dan akan disusuli oleh beberapa siri mesyuarat di peringkat pegawai sebelum beberapa pilihan cadangan di angkat kepada menteri semula untuk dipertimbangkan.

“Cadangan rasionalisasi NFDP ini akan mengambil kira semua aspek termasuklah perbelanjaan, sumber kewangan, penyelarasan teknikal, punca kuasa dan pemusatan sekretariat penyeliaan program untuk tahun hadapan dan seterusnya.

“Semua pemegang taruh (stakeholders) NFDP sudah memberikan komitmen untuk memikirkan kaedah terbaik bagi memastikan semua inisiatif pembangunan bola sepak dapat diteruskan demi masa depan bola sepak negara.”

Hala tuju NFDP menjadi perhatian utama selepas pertukaran kerajaan dengan FAM dikatakan bakal mengambil alih program berkenaan.

Malah, bercakap selepas pertemuan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin semalam juga, Syed Saddiq menjelaskan hala tuju NFDP masih dalam kajian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 4:35 PM