AZIZULHASNI Awang. FOTO Arkib NSTP
Haika Khazi
cnews@nstp.com.my


JAGUH berbasikal kebangsaan Azizulhasni Awang yakin mampu memadamkan rekod Asia 9.77 saat dipegangnya dalam acara 200 meter (m) pecut individu pada temasya Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman, berkata dia juga percaya prestasinya akan memuncak apabila turun beraksi dalam tiga acara iaitu keirin, pecut dan berpasukan di Sukan Asia 2018 nanti.

Berikutan itu, Azizulhasni kini menjalani latihan intensif selama kira-kira tiga minggu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan bagi memastikan mencapai kemuncak prestasi apabila berentap di Velodrom Rawamangun, Jakarta.

“Biarpun saya berpuas hati dengan prestasi dan catatan masa 9.8 saat (s) dibuat dalam acara pecut di Piala Trek China, namun saya berharap latihan ini mampu meningkatkan lagi kelajuan kayuhan dan membantu saya memecahkan rekod Asia dan peribadi terbaik 9.774s dibuat di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di sini, Februari lalu, apabila turun beraksi di Sukan Asia nanti.

“Selaku atlet yang sentiasa menekan aspek 'kekuatan fizikal dan kemahiran tinggi' saya percaya tempoh tiga minggu latihan di Velodrom Nasional cukup baik untuk meningkatkan prestasi dan kepantasan saya dalam acara trek di Sukan Asia 2018 nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Azizulhasni juga perlu menghadapi cabaran pelumba Jepun, China dan Korea Selatan serta rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom andai kata mahu merangkul pingat emas menerusi acara pecut di Sukan Asia 2018 nanti.

Jaguh berbasikal berasal dari Dungun, Terengganu itu juga perlu mengatasi saingan pelumba Jepun dan Korea Selatan bagi membolehkannya merangkul pingat emas dalam acara kegemarannya keirin di Jakarta nanti.

“Sasaran utama saya sekarang adalah untuk menang pingat emas dalam acara keirin kerana ia lebih terbuka dan cerah. Biarpun tumpuan mahu menang emas acara keirin, namun insya-Allah kita boleh menang emas dalam acara pecut individu dan berpasukan.

“Kemenangan di Sukan Asia nanti amat penting dan boleh dijadikan azimat atau motivasi untuk saya menaiki podium dalam saingan Piala Dunia Trek UCI di Perancis pada 19 hingga 21 Oktober depan sebagai salah satu daripada kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 5:27 PM